13 Mei 1969 Sejarah Hitam Negara

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam negara Malaysia yang terkenal dengan keharmonian rakyatnya yang berbilang kaum. Implikasi dari peristiwa ini ialah mengakibatkan ramai yang kehilangan nyawa dan harta benda. Rusuhan kaum yang berlaku pada tarikh ini merupakan kemuncak kepada masalah perpaduan di Malaysia. Peristiwa ini berkait rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969.



Semangat perkauman timbul dalam kalangan rakyat Malaysia apabila isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sempena kempen pilihan raya 1969. Semasa kempen pilihan raya dijalankan, calon-calon pilihan raya dan ahli politik terutamanya dari parti pembangkang telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini menyebabkan semangat perkauman antara kaum semakin menebal.



Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Penurunan jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.



Punca berlakunya peristiwa hitam ini adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan sekitar Kuala Lumpur. Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi pilihan raya. Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.



Pada pagi 13 Mei 1969 UMNO telah mengadakan perarakan balas yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor (Dato' Harun Idris) di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung baru, Kuala Lumpur dengan berbekalkan pedang dan parang panjang. Jam 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor. Jam 4.00 petang dua orang penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Rusuhan besar-besaran berlaku antara orang Melayu dan Cina.



Pasukan FRU dikeluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini yang terdiri daripada Melayu, Iban, Cina, India dan lain-lain turut menembak orang Melayu dan menyebabkan orang Melayu semakin marah. Ketua Rejimen Renjer dikatakan seorang Cina.



Akhirnya Rejimen Renjer digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai dibakar di sekitar Kampung Baru dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pemuda-pemuda Cina dari kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ramai penonton Melayu yang mati di panggung tersebut.




Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Terengganu, Kelantan dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak berlaku rusuhan. Cuma ada sedikit di Melaka. Di Bentong ada tembakan oleh PKM.




Angka korban rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tetapi menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD dari Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2000 orang mati dalam peristiwa hitam ini.

0 comment... add one now