22 Jan 2011

Adun Merlimau Meninggal Dunia




MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, yang berdepan tiga serangan jantung dalam tempoh seminggu menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Putra, di sini, malam tadi.
Allahyarham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 malam oleh doktor pakar perubatan, Datuk Dr Mohd Suhaimi Mohd Uda Tenang.

Mohamad Hidhir yang berkhidmat selama dua penggal sebagai Adun Merlimau meninggalkan balu, Datin Noor Azian Mohd Ali, 52, dan empat anak iaitu Mohamad Fairuz Afiq, 25; pasangan kembar, Sharafina Adila dan Sharafina Adzizah, 23, serta Nurul Hazira, 19.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarga di Kampung Tersusun Lipat Kajang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chincin, Jasin.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra, Radhuana Salleh berkata, sebelum ini Mohamad Hidhir dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari Khamis lalu untuk menjalani pemeriksaan selepas mengadu sakit perut.


Menurutnya, Mohamad Hidhir kemudian menjalani pembedahan untuk membesarkan saluran arteri yang tersumbat kira-kira jam 2.45 petang dan dipakaikan dengan alat ‘sten’ (alat membesarkan salur darah).



“Beliau yang mengalami lemah jantung beransur pulih sebelum dipindahkan ke wad pada Jumaat lalu kira-kira jam 6.30 petang.

“Sabtu lalu, beliau mengalami serangan jantung pertama kira-kira jam 2 petang dan dimasukkan ke ICU sekali gus menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Manakala, kira-kira 12 tengah hari Isnin lalu, beliau mengalami serangan jantung kali kedua dan serangan kali terakhir berlaku kira-kira jam 6.45 pagi semalam (kelmarin) hingga bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal semalam sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.10 malam.


Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mewakili kerajaan negeri melahirkan rasa dukacita di atas kematian Mohamad Hidhir walaupun doktor berusaha menyelamatkannya, tetapi Allah lebih menyayanginya.


Menurutnya, pihaknya berharap semua pihak dapat berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman.


“Saya menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat karib dan seorang Exco yang rajin sepanjang dua penggal perkhidmatannya kerana banyak menyumbang kepada rakyat serta negeri.


“Kematian Allahyarham juga satu kehilangan besar kepada Umno, BN dan negeri kerana sumbangan besarnya sepanjang hayat.


“Pada masa sama, saya akan mendapatkan pengesahan kematian mangsa sebelum memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (PSR) Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lobi ICU hospital berkenaan, di sini.


Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan: