29 Sep 2011

SAFEE SALI SELAMAT TIBA DI MALAYSIA

safee-sali
Penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah menjalani latihan percubaan 10 hari bersama pasukan Cardiff City. Safee Sali, berminat untuk mencuba kebolehannya dengan kelab elit lain sekiranya pasukan kelab Cardiff City tidak memilihnya beraksi bersama pasukan 'Bluebirds' itu.

Bagaimanapun, di sebalik tiada keputusan rasmi sama ada Safee terpilih menyarung jersi Cardiff City atau tidak, masih ada khabar gembira mengiringi kepulangannya ke tanah air, apabila pengurus pasukan kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu, Malky Mackay memintanya kembali untuk penilaian lanjut selama dua minggu lagi.
"Bagi saya peluang latihan 10 hari di sana tidak mencukupi kerana saya tidak berpuas hati dengan kemampuan diri sendiri. Saya sememangnya berharap dapat bermain dalam perlawanan persahabatan di sana bagi membuktikan aksi sebenar.
"Saya harapkan ada talian positif dari pihak pengurusan Cardiff dan saya sememangnya amat berminat untuk bermain di sana," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari menjalani latihan percubaan 10 hari bersama pasukan itu hari ini.

Pemain kelab Pelita Jaya di Indonesia itu berkata, beliau tiada masalah mengikuti latihan yang diberikan kelab Cardiff City yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee.

"Walaupun saya di sana selama dua minggu, saya dapat lihat latihan yang mereka praktikkan berbeza dari segi kepantasan serta cara berfikir mereka juga lebih cepat. Dari segi latihan saya boleh ikuti dan cuaca pun tidak menjadi masalah," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, sekiranya tidak dapat bermain di England, beliau sudah bersedia untuk menerima tawaran latihan dari kelab elit lain.

"Saya harap bukan saya sahaja pergi mencuba di luar sana...kalau pemain lain diberi peluang tawaran, mereka patutlah mencuba," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE

Tiada ulasan: