17 Nov 2011

KISAH JIN BERNAMA AZAZIL

Untitled-1
Pada satu ketika dahulu sebelum wujudnya manusia di alam ini Allah telah mengangkat martabat sejenis bangsa jin yang bernama Azazil untuk hidup bersama-sama penghuni langit. Azazil menjadi salah satu makhluk yang hidup bersama-sama malaikat yang kuat beribadat kepada Allah S.W.T.

Daripada makhluk yang suka bergaduh sesama sendiri, Azazil berubah menjadi makhluk Allah yang paling kuat beribadat dan terkenal dalam kalangan para malaikat di langit. Azazil menjadi salah satu makhluk yang disayangi Allah kerana ketaatannya kepada Allah S.W.T. Azazil juga menjadi ketua kepada semua malaikat.

Hal ini berkekalan sehinggalah Allah mencipta sejenis makhluk yang bernama manusia. Pada awalnya semua malaikat mempersoalkan tujuan Nabi Adam a.s. dicipta oleh Allah. Tetapi akhirnya semua malaikat tunduk di bawah kekuasaan Allah lalu sujud kepada Nabi Adam a.s. kecuali Azazil seorang.

Bermula dari peristiwa itu Azazil yang sekarang ini dikenali sebagai iblis laknatullah telah dibuang ke muka bumi. Disebabkan keingkaran iblis kepada perintah Allah dengan sekelip mata darjatnya yang tinggi sebelum ini disisi Allah jatuh serta-merta. Tiada lagi gelaran kehebatan diberikan kepada iblis. Makhluk yang bernama Azazil yang dahulunya kuat beribadat kepada Allah dan dipandang tinggi oleh semua makhluk kini berubah menjadi musuh orang yang beriman dan musuh Allah sehingga ke hari kiamat.