25 Jun 2014

JDT BERGELAR JUARA LIGA SUPER 2014

JDT Juara Liga Super 2014 (MSL )


Rangkuman Perlawanan terakhir Liga Super 2014

Pasukan JDT meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan menentang Sarawak

Berlabuh sudah tirai Liga Super bagi musim 2014.Seperti yang diramalkan, Johor Darul Takzim ( JDT ) telah berjaya menjuarai Piala Liga Super 2014 dengan kekal ditangga teratas menewaskan Selangor , pesaing terdekat . JDT menjulang trofi Liga Super buat pertama kalinya selepas menamatkan 22 perlawanan musim ini dengan hasil kutipan mata sebanyak 44 mata , selepas menewaskan Sarawak 1 - 0 hasil jaringan tunggal pemain import mereka di Stadium Negeri Sarawak.

Sementara itu, Selangor menamatkan saingan di kedudukan kedua apabila mengutip 41 mata, selepas sekadar terikat kedudukan 2-2 dengan PKNS dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.


Carta kedudukan Liga Super 2014
Manakala Pahang kekal berada di kedudukan ketiga dengan 37 mata, apabila Perak membuat kejutan besar dengan jaringan 3-0, sekaligus masih kekal melayakkan diri di Kejuaraan Liga ini. Sementara itu , Terengganu juga melakukan kejutan apabila menjaringkan 3 gol selepas ketinggalan 2 gol di babak pertama menentang kelantan di Kota Bharu, Kelantan. Jaringan menerusi pemain tempatan mereka iaitu Abdul Manaf Mamat ( double ) dan Norfarhan.

Pada aksi yang berlangsung di Kuching, JDT dilihat lebih berhak untuk memenangi perlawanan biarpun berdepan tentangan sengit daripada Sarawak.

Di minit ke-7, tonggak import JDT Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa mempamerkan corak permainan satu dua yang menarik, sebelum penjaga gol Sarawak Sani Anuar Kamsani menangkap kemas bola di kaki Diaz.

Di minit ke-16 pula, Nazrin Nawi melakukan percubaan baik yang hanya sedikit tersasar, biarpun dia turut berpeluang untuk menghantar bola ke depan gawang Sarawak.

Ryan Griffiths mempunyai idea yang bijak pada minit ke-24 apabila dia melakukan lambungan jauh pada ketika dia melihat penjaga gol JDT, Al-Hafiz Hamzah naik keatas. Bagaimanapun, sepakan tersebut tersasar melewati palang gol.

S. Chanturu berjaya melarikan bola dan melepasi halangan Daudsu Jamaluddin di minit ke-34, sebelum dia melakukan hantaran ke depan gawang gol, namun tiada pemain Sarawak yang berada di kedudukan terbaik untuk melakukan penyudah.

Bebanan jentera serangan JDT untuk mencari gol begitu dirasai apabila barisan pertahanan Sarawak menunjukkan disiplin yang baik untuk menghalang setiap asakan.

Di babak kedua perlawanan, Ashri Chuchu mempunyai peluang berharga untuk melakukan jaringan selepas menerima hantaran ketika dia tidak dikawal di depan gol di minit ke-53, namun sentuhan pertamannya membuatkan bola hilang dari kawalan sebelum mudah dikeluarkan pemain lawan.

Jurulatih JDT, Bojan Hodak membuat pertukaran drastik di bahagian sayapnya dengan memasukkan Norshahrul Idlan Talaha dan mengeluarkan Mahali Jasuli, sementara Nazrin Nawi digantikan dengan Amri Yahyah.

Di minit ke-66, Diaz muncul menghadiahkan gol buat JDT apabila dia tenang menewaskan Sani dengan sentuhan mudah, selepas tandukan sipi Figueroa jatuh ke kakinya.

Di minit ke-76, Mafry Balang berjaya melepaskan diri dari tiga pertahanan lawan dan melakukan rembatan dari luar kotak penalti, bagaimanapun, Al-Hafiz dilihat lebih bersedia untuk menangkap kemas.

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga ke wisel penamat.

Dalam pada itu, T-Team dan PKNS jatuh di Liga Perdana pada musim hadapan apabila berada di kelompok dua terbawah Liga Super 2014. Dan dua slot itu akan diisi oleh juara Liga Perdana 2014, PDRM dan Felda United.



Tiada ulasan: