JEREMY WADE | SI PEMANCING BERANI MATI

Jeremy Wade , Si Pemancing Berani Mati


Sungai terpencil dan jarang dikunjungi manusia menjadi pentasnya. Gergasi dasar sungai pula menjadi seterunya beradu tenaga.

Oleh itulah, Jeremy Wade digelar pemancing berani mati di dunia. Wade berusia 58 tahun , seorang ahli biologi , guru , penulis dan hos televisyen yang sudah mengelilingi dunia serta menerokai sungai terpencil selama lebih 25 tahun.

Dia juga sudah berhadapan dengan banyak jenis ikan luar biasa dan berbahaya di susur sungai yang mempunyai kisah misteri tersendiri. Wade mempertaruhkan nyawanya berulang kali atas nama minat dan untuk merakam kisah kehidupan air tawar dan habitat hidupan itu.


Dibesarkan di tebing sungai Suffolk Stour di tenggara England , kebolehannya dibina atas sebab ingin tahu mengenai apa yang ada di dalam sungai dan setiap likunya. Dia berjaya memperoleh Ijazah Zoologi dari Universiti Bristol dan ingin berkongsi ilmunya dengan mengambil sijil mengajar subjek biologi dari Universiti Kent. Kembara memancing pertamanya di luar negara adalah di sungai pergunungan India pada tahun 1982.

Sejak itu, dia terus menjejaki ikan sungai gergasi dan ikan yang jarang ditemui manusia di serata dunia. Wilayah Congo dan hutan hujan Amazon menjadi kawasan yang sering dijelajahinya untuk memancing.

" Saya tidak melihat diri saya sebagai seorang pakar memancing. Namun saya seperti mempunyai keupayaan menyesuaikan diri di kawasan yang tidak dihuni dan diterokai manusia terutamanya di susur sungai terpencil.


"Apabila saya berada di sungai, timbul tenaga luar biasa dalam diri saya. Bukan sahaja daripada diri sendiri, bantuan dan dorongan pemancing atau nelayan tempatan juga menjadi kunci kejayaan saya menakluki sesuatu sungai itu lantas memberi pandangan yang menarik kepada mereka yang mengikuti kembara saya, " Katanya.

Menurutnya , dengan menjalinkan hubungan rapat dengan penduduk tempatan dia juga berkesempatan memahami budaya unik dan mendengar cerita pengalaman mereka. Namun , kembara  mengailnya bukanlah setenang yang digambarkan orang lain. Wade pernah dijangkiti demam malaria semasa mengembara. Dia juga pernah ditangkap kerana disangka seorang pengintip , hampir lemas dalam banjir buruk , terlepas peluru sesat dan terselamat daripada tragedi pesawat terhempas. Namun tiada apa yang mampu mematahkan semangatnya berkongsi rahsia alam bersama kaki pemancing dan penonton seluruh dunia.

Pada 1992 , dia menulis ' Somewhere Down the Crazy River ' , sebuah buku yang dianggap sebagai salah satu kesusasteraan klasik seni memancing. Dia kemudian mengemudi rancangan televisyen pertamanya , ' Jungle Hooks ' dan mendapat sambutan hebat.


Buku keduanya ' River Monsters: True Stories of the Ones That Didn't Get Away ' diterbitkan pada 2011 yang menceritakan kisah pengembaraan dan sejarah kawasan dijejakinya , terus menaikkan namanya. Rancangan ' Rivers Monsters ' terus mengukuhkan namanya sebagai ikon dunia memancing. Dengan ilmu dan tekniknya yang unik, dia memukau penonton di rumah malah rancangan itu paling ramai penonton di saluran Discovery Channel ( Astro 551 ) .

Baru-baru ini , Wade melawat Malaysia dan berkongsi rahsia dan pengalamannya dalam menjinakkan gergasi sungai  bersama peminatnya di sini. Ratusan peminatnya bukan sahaja membanjiri pusat beli-belah Sunway Pyramid malah khusyuk mendengar cerita dan pengalamannya.


Wade mungkin antara pemancing hebat yang menjengah hampir semua pelusuk dunia dan menangkap hidupan eksotik air tawar. Namun apabila dia tidak menelusuri sungai penuh misteri itu, dia menghabiskan masanya di rumah yang terletak di kawasan perkampungan di Somerset , England memikirkan lokasi sungai yang belum dijelajahi dan apa yang bakal ditemuinya di situ kelak.

Dipetik dr ~ akbar Metro

0 comment... add one now