4 Jul 2014

NAMA ISLAM FELIXIA YEAP

NAMA ISLAM FELIXIA YEAP

Alhamdulillah.. seperti yang sudah kita sedia maklum , model dan personaliti media Felixia Yeap , kini sudah bergelar seorang "muslimah" setelah selamat mengucap dua kalimah syahadah kira-kira 6.30 petang di Masjid TTDI pada 5 Ramadhan 1435H. Felixia sangat beruntung kerana dipilih oleh Tuhan Yang Maha Esa antara jutaan umat manusia untuk mendapat hidayahNya. Setiap masa di serata pelusuk dunia ada sahaja manusia yang mendapat hidayah Allah dengan berbagai cara biar pun sekecil mana.


Hati Felixia tersentuh apabila buat pertama kalinya diminta memakai tudung semasa sesi pengambaran iklan Celcom dan semenjak itulah dia tertarik dengan pemakaian pakaian muslimah dengan mengatakan berpakaian sedemikian dia berasa lebih selamat.

Dengan hal demikian, benarlah Firman Allah seperti yang disebut dalam Surah Al Anaam ayat 125 yang maksudnya : “Maka sesiapa yang ALLAH kehendaki untuk mendapat hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang ALLAH kehendaki untuk menyesatkannya nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah ALLAH menimpa azab kepada orang-orang yang tidak beriman”

Dengan pengislamannya , Felixia telah mendedahkan nama Islamnya iaitu Raisyyah Rania Yeap. Raissyyah yang membawa maksud " pemimpin raja " manakala Rania pula membawa maksud " mempersona ".
Gabungan dua nama Islam Felixia ini akan membawa maksud " pemimpin yang mempersona ". Ilham nama Rania itu dipilih setelah Felixia mendapat mimpi mengenai namanya dan seterusnya mengkaji makna tersebut sebelum mengambil keputusan untuk menggunakannya.

Felixia Yeap juga memaklumkan yang dia akan mengekalkan nama Cina miliknya yang telah diberi oleh ibunya. Maksud nama tersebut ialah “Ketenangan, Keanggunan” atau di dalam bahasa Inggeris, “Silent Grace”. Apa-apa pun , selamat datang Raisyyah Rania Yeap dan jalanilah kehidupan sebagai seorang muslimah dengan berbagai-bagai keindahan dan kedamaian.

Tiada ulasan: